Memahat Sejarah Di Persada Dunia
JAUH berjalan luas pandangan merupakan peribahasa Melayu yang amat sinonim dengan pengembaraan dalam kalangan penulis di negara kita. Mereka pergi ke seluruh negara hatta ke seantero dunia untuk menambah ilmu secara langsung. Pemerolehan pengalaman melalui pengembaraan telah dirintis oleh Abudllah Munsyi, Bapa Kesusasteraan Moden yang telah mengahasilkan “Hikayat Pelayaran Abdullah” pada awal abad ke-19. Karya tersebut dihasilkan setelah Abdullah membuat pelayaran ke negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia. Pengalaman sebenar yang dilalui telah dicatat dengan begitu indah oleh Abdulllah untuk menghidupkan karyanya. Kini tulisan beliau dikategorikan oleh para pengkritk sastera sebagai karya aliran realisme.
Hal yang sama turut dilakukan oleh kebanyakan penulis di negara kita, sama ada penulis veteran, penulis prolifik atau penulis karya eceran, Pengalaman sewaktu mengembara dijadikan wacana oleh mereka untuk menelurkan idea dalam penghasilan sesebuah karya. Sebagai contoh Hashim Awang dengan novelnya “Air Mata Di Bukhara” telah memuatkan pengalaman beliau ketika mengembara di bumi Rusia. Hashim lewat karyanya itu antara lain telah mencatatkan kisah benar tentang beberapa buah masjid lama yang telah dijadikan pusat hiburan oleh masyarakat di sana. Tidak ketinggalan juga novel “Nostalgia Padang” yang ditulis oleh Dzul Karnain Ithnain. Dalam “Nostalgia Padang” penulis telah memuntahkan pengalaman sewaktu membuat kajian lapangan tentang susur galur bangsa Melayu di Afrika Selatan. Penulis lain yang turut menjadikan pengalaman ketika berada di negara asing sama ada menjadi pengembara, pekerja atau pengkaji sebagai bahan penulisan ialah Sasterawan Negara, A.Samad Said (India) Anis Sabirin (Amerika Syarikat), Zaharah Nawawi (Perancis), Faizal Tehrani (Turki) dan H.M.Tuah (German). Pengalaman di bumi asing terbukti menjadi rencah penulisan yang mampu menarik selera pembaca terhadap karya-karya yang dihasilkan.
Sekadar menyenaraikan beberapa penulis seperti di atas, dapatlah disimpulkan di sini bahawa pengalaman yang diperoleh seseorang ketika berkunjung ke sesuatu tempat mampu menambah pengetahuan dan pengalaman yang amat menepati maksud peribahasa jauh berjalan luas pandangan. Sungguhpun demikian, tidak semua orang berpeluang mengembara atau melancong ke luar negara lantaran peluang yang terhad sekali. Namun dalam mengapai impian berkunjung ke negara orang agar duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan barisan penulis tersohor di negara kita, saya perlu kreatif memanfaatkan ruang dan peluang untuk mengenali sesuatu bangsa dan negara asing walaupun berada di bumi Malaysia dalam suasana persaudaraan sejagat. Dalam hal ini perhimpunan pengakap atau jambori merupakan medium pertemuan warga pengakap dari seluruh dunia. Selain itu, menyertai sesuatu persidangan di peringkat antarabangsa juga merupakan salah satu cara saya untuk mengenali budaya orang lain. Walaupun pertemuan dengan orang luar dalam jambori dan persidangan antarabangsa dilakukan dalam tempoh masa yang singkat dan ruang yang terhad, namun pengalaman bersama-sama mereka mampu memberi sedikit ilmu kepada saya dalam usaha menelurusi kehidupan untuk memahat sejarah di persada dunia.
* * *
Permulaan langkahku untuk mencatat sejarah sendiri di persada dunia bermula pada 1972 iaitu ketika usiaku menginjak 13 tahun. Ketika itu julung kalinya aku menyertai Jambori Malaysia Ketiga di Taman Bunga berdekatan Istana Besar Bukit Serene, Johor Bahru, Johor, bersama-sama 16 ahli pengakap dari Pasukan Lapan Semerah seperti Mastura, Supian, Yusof dan Zain dibawah pimpinan Cikgu Yaacob Bin Abdul Karim (kini Pesuruhjaya Pengakap Johor). Encik Noh Hamim jurulatih pasukan juga turut serta. Kami ke sana dengan bas sekolah yang disewa khas oleh pemimpin pasukan.
Semua aktiviti sepanjang jambori itu seperti merempuh halangan yang dikendalikan oleh pasukan Angkatan Tentera Malayia (ATM) berjaya kulakukan. Tidak dapat kulupakan betapa sukarnya memajat tembuk konkrit setinggi 3 meter, merangkak di bawah dawai berduri, meraduk lumpur dan melakukan “monkey bridge”. Keterujaanku melakukan aktiviti tersebut adalah sangat tinggi semata-mata untuk mendapatkan beberapa keping lencana yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
Selain itu, aku turut menyertai pasukan koir bersama-sama guru pelatih dari Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (MPTI) Johor bahru untuk dipersembahan dalam majlis perasmian pembukaan dan perasmian penutupan jambori yang telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Johor. Persembahan koir tersebut amat gah kerana dijayakan oleh 300 peserta koir dan diringi oleh pasukan pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Jambori yang disertai oleh oleh 3,000 peserta dari dalam dan luar negara itu meningalkan kenangan terindah dalam hidupku. Bukan sahaja peserta dari negara-negara ASEAN malah peserta dari Australia, New Zeland, Britain dan Canada turut kutemui dalam jambori itu. Selain itu, aku berkesempatan menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan oleh Kontinjen Laos, Kontinjen Vietnam, Kontinjen Thailand dan Kontinjen Indonesia. Walaupun usia penglibatanku dalam pasukan pengakap ketika itu baru setahun jagung, namun pihak pengurusan Kontinjen Johor memberi kepercayaan kepadaku untuk menyertai undangan kontinjen dari luar negara bersama-sama pemimpin veteran dalam majlis rumah terbuka tersebut. Dalam majlis itu, banyak pengalaman yang kuperoleh. Antaranya ialah sajian istimewa yang disajikan untuk mengalu-alukan tetamu yang hadir. Kesimpulan yang boleh kubuat semasa mengunjungi rumah terbuka itu adalah tentang persamaan makanan bagi negara-negara ASEAN iaitu dari aspek penyediaan makanan dan rasanya. Hampir kesemua makanan yang dihidangkan ialah masakan yang digoreng, rasanya pedas, masin, masam dan manis. Senario tersebut jelas sekali menggambarkan mereka mempunyai latar budaya yang hampir sama atau serumpun bangsa daripada keluarga Nusantara.
* * *
Langkahku setelah dua dasawarsa. Pada 2006 aku terpilih menyertai Kontinjen Johor dalam Jambori Nasional (JAMNAS) Indonesia di Kiarapayung, Jatinangor, Bandung, Selama 10 hari aku di sana. Tugas yang diamanahkan kepadaku ialah penyelaras persembahan kebudayaan kontinjen. Tanggungjawab tersebut kugalas dengan sebaik-baik mungkin demi imej negara Malaysia di mata dunia. Sebelum pemergian, kupohon kerjasama rakan-rakan sekontinjen dan beberapa orang penduduk di Tanjung Labuh, Batu Pahat untuk membentuk kumpulan penari zapin yang dianggotai oleh enam orang pengakap muda lelaki berumur antara 14 -15 tahun. Tidak dapat kulupakan jasa dan pengorbanan Makcik Tijah yang sanggup melatih penari zapin bidan terjun itu selama dua bulan. Sejak itu aku mula mengenali pelbagai jenis tarian zapin di Johor seperti Zapin Pekajang, Zapin Gelang Patah, dan Zapin Tenglu.
Di samping itu, aku dipertanggungjawabkan juga mengiringi dua peserta pengakap remaja perempuan dari Kumpulan 136, Persekutuan Pengakap Malaysia Batu Pahat. Selain itu, persediaan kelengkapan untuk ke sana juga menjadi cabaran bagiku kerana lokasi perkhemahan dimaklumkan terletak di lereng bukit. Selain itu, cuaca sejuk terutama pada waktu malam dan hujan ribut yang boleh meranapkan khemah cukup memeningkan dan menyulitkanku.
JAMNAS di Bandung itu berjaya menghimpunkan kira-kira 20,000 peserta dari seluruh Indonesia dan peserta dari luar negara. Kontinjen Malaysia dianggotai oleh 35 peserta termasuk 10 peserta perempuan. Kawasan khemah peserta perempuan dan peserta lelaki dipisahkan oleh berpuluh-puluh gerai yang menjual kraf tangan, makanan dan pakaian yang jaraknya 3 km antara satu sama lain. Pemandangan di kawasan perkhemahan saujana mata memandang dan seolah-olah aku berada di padang Arafah bersama-sama umat islam lain melakukan wukuf .
Memandangkan jumlah peserta yang terlalu banyak, maka masalah bekalan air bersih dan kemudahan asas lain turut terjejas. Peserta perempuan dari Malaysia berusaha pergi ke kampung berdekatan untuk mandi di sumur milik para pesawah yang terletak di tepian kali, di kaki gunung jauh di pedalaman. Indah nian pemandangan di situ. Manakala udaranya segar dan amat menyamankan. Kuceritakan kepada anak-anak di bawah jagaanku tentang serangkap pantun Melayu yang menggunakan imej alam dan gambaran masyarakat petani yang menyamai ciri-ciri kehidupan petani di situ. Uniknya, pantun tersebut sering dinyanyikan oleh ahli pengakap Malaysia dan pramuka Indonesia.
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi;
Kalau ada umur panjang,
Boleh kita bertemu lagi.
Promosi Jambori Johor 2008 dilakukan secara besar-besaran di JAMNAS. Kain rentang yang mengandungi tarikh dan tempat berlangsungnya Jambori Johor 2008 tergantung di seluruh tapak khemah Kontinjen Malaysia. Manakala peserta Kontinjen Malaysia pula menjadi buruan peserta tempatan. Kami lemas dalam keramaian kerana terlalu banyak yang ingin merakamkan gambar kami untuk kenang-kenangan selain bertanya untuk mengetahui lebih lanjut tentang Jambori Johor 2008.
Pada pandanganku seseorang pengakap yang menyertai JAMNAS tidak akan berasa kerugian. Hal ini disebabkan bayaran penyertan termasuk bayaran makan lima kali sehari selama seminggu termasuk kos pengangkutan dan perkhidmatan lain ialah RM 1,000 sahaja. Para peserta bukan sahaja dilayan sebagai tetamu kelas pertama malah begitu disanjung terutama ketika peserta dari luar negara termasuk Kontinjen Malaysia dibawa wisata (melancong). Sudahlah kenderaan yang kami naiki berhawa dinggin malah diriingi pula oleh kernderaan polis untuk menjamin keselamatan para peserta. Setiba pula distinasi yang dituju kami disambut dengan meriah oleh barisan pramuka di sepanjang kiri kanan jalan, paluan hadrah dan iringan pasukan pancargam. Aku begitu tertarik dengan sajian makanan tempatan dalam setiap majlis yang kuhadiri kerana makanan tersebut dibuat daripada pisang dan ubi serta disajikan secara kreatif tradisional iaitu menggunakan daun pisang sebagai acuan. Oleh itu, aku sangat terharu atas budi bahasa dan layanan baik yang diberikan oleh masyarakat di Kabupaten Sukabumi dan di Gua Buni Ayu.
”Mampukah kita melayani mereka seperti ini apabila mereka datang ke Johor” Bisikku kepada Cikgu Yaacob dalam satu majlis meraikan kami.
”Sambutan seperti inilah yang patut awak pelajari dan lakukan apabila mereka ke Johor kelak”
Jawapan Cikgu Yaacob menjadikan diriku terkesima. Aku melihat tamadun bangsa Indonesia amat utuh walaupun mereka menongkah arus kemodenan dan globalisasi. Hal ini digambarkan melalui adat resam mereka ketika menyambut tetamu dalam penganjuran sesuatu majlis. Tutur kata masyarakat setempat yang sopan dan adab yang santun amat mengakumkan para tetamu.
* * *
Pada 2007 aku dipertanggungjawabkan pula untuk mengetuai Kontinjen Malaysia yang dianggotai oleh seorang penolong ketua kontinjen dan 6 orang pengakap kelana dari Kumpulan 136 Persekutuan Pengakap Malaysia Batu Pahat dalam perhimpunan kelana di Brunei yang dikenai sebagai First Brunei Rover Moot. Perhimpunan tersebut diadakan di Bandar Seri Begawan, Kami berada di sana selama 13 hari dan satu perkara yang tidak akan kulupakan ialah pengalaman kami menyambut satu Ramadan 1427 di sana.
Promosi Jambori Johor 2008 turut diadakan di Brunei. Seperti JAMNAS di Bandung, Kontinjen Malaysia mempersembahkan beberapa tarian seperti tarian inang, joget dan zapin di samping kami mengambil bahagian dalam aktiviti berhalangan, forum dan kerja-kerja kemasyarakatan. Perkhemahan Rover Moot di Brunei telah meningalkan kenangan tersendiri kerana kami terpaksa menginap di asrama disebabkan kawasan khemah dilanda banjir. Oleh itu, para peserta tinggal di asrama pengakap yang bersebelahan dengan Ibu Pejabat Pengakap Brunei yang terletak di Jalan Gadong, di samping menikmati makanan tiga kali sehari di restoran bertaraf lima bintang yang terletak di bahagian bawah bangunan yang sama.
Kemewahan hidup rakyat di negara Brunei jelas tergambar melalui kenderaan mewah yang disediakan untuk Kontinjen Luar Negara. Para peserta turut diberi kesempatan menaiki bot laju ketika melawat kampung air dan kapal laut Tentera Diraja Brunnei semasa berkunjung ke kawasan pedalaman seperti Temburong yang terletak di hujung negeri dan bersempadan dengan Sarawak. Sesungguhnya masyarakat Brunei ialah saudara kita yang hanya dipisahkan oleh oleh garisan politik.
* * *
. Seperti yang diuar-uarkan, Jambori Antarabangsa Johor Ke-24 berlangsung pada 15 – 20 Novemberi 2008 di tapak perkhemahan Kem Jubli Intan, Tanjung Labuh, Batu Pahat yang terletak kira-kira 20 km dari Bandar Penggaram. Tapak perkhemahan yang boleh memuatkan 4,000 peserta telah menjadi padat kerana dikunjungi peserta yang melebihi 6,000 orang.. Hal ini disebabkan penyertaan kontinjen dari dalam negara amat menggalakkan. Hampir kesemua negeri di Malaysia telah menghantar pasukan pengakap masing-masing. Tambahan pula penyertaan kontinjen dari luar negara melebihi jangkaan. Kontinjen dari Kepulauan Riau dan Kontinjen Jakarta dianggotai lebih kurang 400 peserta. Manakala kontinjen dari Kepulauan Maldives pula dianggotai oleh 3 peserta dan merupakan bilangan peserta yang paling kecil. Jumlah penyertaan yang banyak mungkin disebabkan iklan dan promosi Jambori Antarabangsa Johor yang dilakukan di seluruh negara dan di luar negara sejak 2006. Oleh itu, pengajaran yang kuperoleh daripada hal itu ialah usaha membawa banyak orang luar ke daerah kita dapat dijayakan jika dilakukan dengan penuh keyakinan dan bersungguh-sungguh. Sungguhpun begitu komitmen daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan sesuatu program bertaraf dunia seperti jambori tersebut meninggalkan impak positif.
Dalam jambori tersebut pelbagai pengalaman kuperoleh. Oleh sebab itu, dalam kesibukan tugasku sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu, keterujaan menerima bebeberapa lantikan jawatan sepanjang jambori berlangsung tidak kulepaskan begitu sahaja. Sebagai contoh aku menerima tanggungjawab sebagai Setiausaha Kontinjen Batu Pahat yang mengelolakan 350 peserta yang dianggotai oleh pengakap dari seluruh daerah. Peserta dari Kumpulan 136 adalah sebanyak 129 orang, hampir separuh daripada jumlah peserta kontinjen Batu Pahat. Sungguhpun begitu, segala cabaran pengurusan dapat kuatasi dengan jayanya kerana kerjasama padu yang diberikan oleh ahli jawatankuasa kontinjen yang terdiri daripada penolong-penolong pemimpin. Tidak akan kulupakan jasa baik dan pengorbanan mereka seoanjang perkhemahan berlangsung. Antaranya, pengorbanan daripada Ijat, Abang Enal, Rafiq, Mimah, Irrinna, Izan, Huda, Hizam, Nuar, Khee Phang dan banyak lagi yang tidak dapat kusebutkan di sini.
Sementelahan itu di peringkat jawatankuasa pengelola pula, aku ditugaskan sebagai ahli jawatankuasa sambutan perasmian pembukaan dan perasmian penutupan, di samping menyediakan teks ucapan alu-aluan dan teks perasmi jambori. Memang nampak sedikit tugas tersebut namun tanggungjawabku berat lantaran ketiadaan kerjasama daripada pihak lain. Tambahan pula, aku terpaksa menyediakan beberapa peserta yang membawa enam set bunga pahar, 10 batang bunga manggar. Bukan itu sahaja aku turut menguruskan persembahan gamelan sepanjang majlis penyampaian hadiah, pingat dan cenderamata dalam majlis penutup jambori. Demi menjayakan persembahan gamelan pada malam itu, aku terpaksa bertukar kenderaan dengan pemandu bas yang SM Teknik, Batu Pahat. Hal ini disebabkan bas tersebut diperlukan bermalam di tapak perkhemahan untuk menyimpan kesemua alatan gamelan kerana faktor keselamatan.
Pengajaran yang kuperoleh daripada penglibatan dalam beberapa tugasan yang dimanahkan di peringkat negeri dan antarabangsa semasa jambori itu ialah pengorbanan ikhlas dalam bidang sukarelawan tidak menjanjikan pulangan dalam bentuk material namun kebahgian kunikmati melalui sanjungan budi dan keikhlasan hati rakan-rakan seperjuangan.
* * *
29.09.2009 merupakan tarikh yang tidak akan kulupakan dalam hidup ini. Seperti biasa, aku akan menghubungi Cikgu Yaacob Bin A.Karim untuk memaklumkan perkembangan tentang kerjaya dan pencapaian akademik terkini diriku kepadanya. Hal ini disebabkan beliau merupakan insan yang telah banyak berjasa dan sentiasa mendorongku untuk mencapai kejayaan dalam Pasukan Pengakap Malaysia. Namun pada tarikh itu, aku hanya menghantar SMS untuk bertanya khabar tentang kesihatan beliau di samping memaklumkan tentang penyertaanku dalam Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Dunia di Bangunan PERSADA, Johor Bahru, Johor. Beliau amat berbangga atas kejayaanku serta memanjatkan kesyukuran atas kejayaanku menjadi salah seorang daripada 50 pemakalah dari seluruh dunia dalam persidangan itu. Hal ini membuktikan bahawa anak didik Cikgu Yaacob mampu duduk sama rendah dan berdri sama tinggi dengan pemakah dari Singapura, Indonesia, Rusia, Jepun dan China untuk membicarakan beberapa disiplin ilmu dalam bidang bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu.
* * *
Sebenarnya, aku melihat kecemerlangan dalam apa-apa jua bidang pekerjaan yang dilakukan, terutama dalam bidan pendidikan memerlukan seseorang guru itu jujur dan ikhlas mendidik di samping meletakkan niat amal makruf anil munkar. Memang banyak cabaran yang mendatang dari pelbagai sudut namun ketabahanku seteguh karang di lautan dalam mengharungi dugaan dan kesusahan hidup telah menjanjikan kejayaan yang manis dan harum semerbak pada hari ini. Oleh itu, dalam konteks pendidikan di negara kita pada hari ini, usaha guru untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia menjadi bertambah payah jika individu guru itu sendiri kekeringan idea dan kedangkalan imu dalam mengemudi profesion keguruan yang ditekuninya. Oleh itu sewajarnya para guru pada alaf ini mengorak langkah mempertajam minda untuk merealisasikan wawasan pendidkan negara bertaraf dunia apatah lagi untuk memahat sejarah di persada dunia seperti yang telah dilakukan oleh guru-guru kita pada suatu masa dahulu. Sampai bila-bila, jasa dan pengorbanan Cikgu Yaacob bin Abdul Karim akan kukenang dan kuabadikan dalam karyaku walaupun karyaku tidak sehebat karya Abdullah Munsyi, A.Samad Said, Hashim Awang, atau Faizal Tehrani yang amat prolifik walaupun usianya masih muda.
”Terima kasih cikgu kerana berjaya merealisasikan impianku memahat sejarah di persada dunia”
- tamat -
terima kasih tuan hj Yaacob Karim.banyak jasa kenangan kepengakapan dapat dicontohi.kesanggupan tuan bersua dengan ahli pengakap seluruh Malaysia dan serantau berkenalan dan mengeratkan siratulrahim.saya dapat mengenal tuan dan ciri-ciri kepimpinan terbaik tidak dapat dilupakan hanya Allah dapat memberi hidayah kepada kami insyaallah.sekali berpengakap terus berpengakap.cinta pengakap tidak boleh dipisahkan..teruskan..hingga akhir hayat.
BalasPadam