Sabtu, 8 Mei 2010

TEKS UCAPAN KPPM DLM MSSM 2010









TEKS UCAPAN ALU-ALUAN
Y. BHG.TAN SRI DATO’ ALIMUDIN BIN HJ. MOD. DOM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA





MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN
MSSM KALI KE-52

19 MEI 2010 (RABU)
8.00 MALAM

STADIUM TAN SRI DATO’ HAJI HASSAN YUNOS
JOHOR BAHRU




DISEDIAKAN OLEH
NURSIDAH BINTI AB.HAMID
GURU CEMERLANG BAHASA MELAYU
SMK DATO SYED ESA, BATU PAHAT
10 april 2010



1. Terlebih dahulu marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunus, Johor Bahru, Johor, pada malam ini untuk menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia Edisi ke-52 Tahun 2010.

2. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua peserta yang mewakili kontinjen Majlis Sukan Sekolah Negeri dari seluruh negara dan peserta dari Kontinjen Negara-negara Asean yang mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada YAB Tan Sri Muhyidin bin Haji Mohd. Yasin, Timbalan Perdana Menteri atas kesudian beliau melapangkan masa bersama-sama kita dalam majlis ini.

3. Saya sungguh gembira dan berbesar hati dengan usaha yang ditunjukkan oleh Majlis Sukan Sekolah Johor yang bersungguh-sungguh menjayakan kejohanan yang berprestij ini. Walaupun kejohanan berlangsung pada hari persekolahan, namun komitmen para pegawaii dan guru-guru amat luar biasa. Sesungguhnya, kejohanan kali ini telah memberi peluang terbaik kepada semua peserta, guru-guru dan pihak pengurusan untuk mempamerkan keupayaan dan kemampuan sebenar dalam usaha meraih gelaran di peringkat kebangsaan.


Hadirin yang dihormati,
4. Tidak dapat dinafikan bahawa kejohanan balapan dan padang yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Sekolah Malaysia pada kali ini merupakan satu usaha untuk pemerkasaan semula sukan di negara kita. Oleh itu semua acara sukan yang dipertandingkan dalam kejohanan kali ini, merupakan acara sukan yang telah dipertandingan sama ada di peringkat sekolah, daerah, dan negeri. Ironiinya, para peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini merupakan juara di peringkat sekolah, daerah dan negeri. Sehubungan itu, mulai tahun 2010 acara sukan di seluruh negara dipergiat bertujuan untuk memeriahkan lagi sesuatu temasya sukan.

5. Selain itu, penganjuran kejohanan kali ini juga bertujuan untuk mengantarabangsakan kejohanan. Oleh sebab itu pihak penganjur mengharapkan penyertaan daripada banyak pihak terutama pendokong program seperti peserta, pegawai kejohanan dan pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dari seluruh negara, penyertaan dari negara-negara Asean serta penyokong kejohanan yang terdiri daripada masyarakat setempat, ibu bapa dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Dengan kolaboratif antara pihak pendokong program dengan pihak penyokong program, diharapkan Kejohanan Balapan dan Padang MSSM tahun 2010 dapat dijayakan dengan cemerlang.

6. Bersempena kejohanan kali ini, Karnival Pendidikan atau Pendidikan Sukan turut diadakan. Antara pengisian karnival adalah seperti hari bertemu pelanggan dan pameran pendidikan yang melibatkan pihak swasta, institut pengajian tinggi dan institut keguruan. Diharapkan para peserta dapat memanfaatkan masa terluang dengan berkunjung ke pameran pendidikan yang berlangsung sepanjang kejohanan. Ibarat serampang dua mata, penyertaan para peserta dalam kejohanan kali ini bukan sahaja bertanding untuk meraih kemenangan dan keujaraan malah para peserta diberikan input tentang perkembangan pendidikan terkini.

Hadirin yang dihormati,
7. Kejohanan Balapan dan Padang MSSM kali ke-52 bagi tahun 2010 berlangsung selama empat hari, mulai 19 Mei – 22 Mei 2010 berjaya menghimpunkan 1806 peserta dan pegawai dari dalam dan luar negara. Penyertaan dari dalam negara sebanyak 1506 iaitu 598 peserta lelaki, 535 peserta perempuan, 299 pegawai lelaki dan 74 pegawai perempuan Mereka mewakili kontinjen MSSN setiap negeri manakala sebanyak 130 penyertaan dari luar negara yang terdiri daripada 50 peserta lelaki, 50 peserta perempuan, 20 pegawai lelaki dan 10 pegawai perempuan.

8 Para peserta dari dalam negara dibahagikan kepada enam peringkat umur iaitu L/P18, 15, dan 12 tahun.
Jumlah acara yang dipertandingkan adalah seperti beriku;
· bagi L18 - ialah 21 acara,
· L15 -17 acara dan L12 ialah 08 acara.
· Manakala acara yang dipertandingkan bagi P18 sebanyak 20 acara,
· P15 sebanyak 16 acara
· dan P12 sebanyak 08 acara.
· Sementara itu, acara bagi peserta luar negara iaitu dari negara Asean ialah 4x100 meter lelaki dan 4x100 meter perempuan.

9 Sebelum mengundur diri, saya sekali lagi mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan sekalung tahniah kepada YAB Tan Sri Muhyidin Bin Yasin, Timbalan Perdana Menteri, Pengarah Pelajaran Johor, Ketua-ketua kontinjen , Pegawai-pegawai Tertinggi Kementerian Pelajaran Malaysia, Pegawai-pegawai Kejohanan, semua peserta kejohanan dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan kejohanan ini. Semoga kejayaan penganjuran kejohanan ini menjadi titik tolak kejayaan penganjuran sukan bertaraf dunia di negara kita.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan